BISNES TUDUNG JENAMA SENDIRI
- usahawanputraniaga upm
- Dec 27, 2019
- 2 min read
NUR HAZIRAH BINTI HAMDAN

SERDANG: Perkembangan industri tudung dilihat semakin pesat membangun malah, deretan jenama yang membarisi pasaran tempatan serta antarabangsa juga membuktikan industri ini mampu memberi pulangan terbaik kepada mereka yang menceburinya. Tidak ketinggalan penuntut IPTA mahupun IPTS menggunakan peluang yang ada untuk memulakan perniagaan ini memandangkan tudung menjadi trend terhangat para gadis masa kini.
Baru-baru ini seorang penuntut IPTA Universiti Putra Malaysia dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi iaitu Anis Binti Zamri telah melancarkan tudung jenamanya sendiri pada 1 Mac 2019 menggunakan platform digital sosial media Instagram.
Bahan yang digunakan untuk menghasilkan produknya adalah kain diperoleh daripada kedai kain Jakel jenis Chiffon yang mempunyai kualiti dalam aspek ketebalan dan 95 manik yang digunakan untuk membuat logo huruf AZ iaitu simbolik tudung jenamanya. Logo huruf AZ diambil sempena daripada akronim namanya dan nama adik beradiknya.
Pihak yang banyak membantunya untuk memulakan perniagaan ialah ibunya sendiri. Tudung jenama AZ dihasilkan dirumahnya sendiri buat permulaan kerana penghasilan kuantiti produk ini hanya 30 helai sahaja. Anis turut berkata bahawa masih tiada lagi menggunakan tenaga kerja yang ramai untuk menghasilkan produknya.
Proses penghasilan tudung jenama AZ tidak terlalu merumitkan. Jahitan pada tepi bahagian tudung dihantar kepada tukang jahit dan logo AZ dilekatkan oleh Anis sendiri dengan kemas dan teliti.
Anis telah menggunakan kaedah platform digital dan war-warkan melalui kawan-kawannya untuk mencari publisiti produk keluarannya itu. Anis juga menggunakan komunikasi interpersonal secara bersemuka dengan saudara mara dan rakan-rakannya untuk merasai sendiri kualiti produk tudung AZ.
Modal yang digunakan untuk permulaan hanya RM800 kerana penghasilan tudung keluaran pertama hanya 30 helai. Keluaran yang akan datang akan dipertingkatkan dengan melihat jumlah permintaan daripada pelanggannya serta tambahan warna tudung yang baru.
Anis sudah lama ingin mengeluarkan tudung jenamanya sendiri tetapi akibat kekangan masa dan tidak begitu bersedia lagi maka hasratnya ditangguhkan. Sekarang tiba masanya Anis memberi sepenuh komitmen untuk mengembangkan lagi bisnes tudungnya.
Inspirasi Anis untuk menghasilkan dan mengeluarkan produk tudung jenama sendiri adalah pemilik tudung AZ ini ingin semua wanita boleh memiliki tudung yang tidak jarang dan labuh dengan hargayang berpatutan dan mampu milik berbanding daripada harga di pasaran luar yang lain.
Bagi peminat tudung yang menggemari kain jenis Chiffon boleh hubungi Anis melalui laman Instagramnya aniszamriofficial.
Comments